Jul 24, 2025 4PM
Laporan audit 2025: SPRM akan teliti potensi salah laku agensi serta GLC
Penelitian secara menyeluruh Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2025 akan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengenal pasti kelemahan tatakelola dan potensi salah laku dalam agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Menurut SPRM, penelitian yang dilaksana termasuk mengambil tindakan susulan terhadap sebarang isu disyaki mempunyai unsur kesalahan jenayah di bawah Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan bukan hanya terhad kepada isu tatakelola semata-mata.
“SPRM mengambil maklum LKAN dibentangkan di Parlimen baru-baru ini, khususnya berkaitan dengan isu-isu yang melibatkan kelemahan tatakelola dan potensi salah laku dalam agensi serta GLC. SPRM sentiasa menyokong pendedahan Ketua Audit Negara,” katanya seperti dilapor Bernama.
SPRM akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Audit Negara (JAN) untuk mendapatkan maklumat serta dokumen sokongan bagi tujuan siasatan serta tindakan lanjut.
Agensi itu sentiasa komited dalam memastikan setiap dakwaan salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah ditangani secara tegas serta telus demi memastikan tadbir urus negara berada pada tahap tertinggi seterusnya mengembalikan keyakinan rakyat terhadap integriti institusi awam.
Terdahulu, LKAN 2/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat mendedahkan tiga ketakteraturan serius membabitkan jumlah keseluruhan lebih RM460 juta.
Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, terdapat kelemahan tatakelola terhadap perolehan pajakan empat ladang sawit oleh FELCRA Bhd melibatkan nilai RM241.76 juta antara 2022 hingga 2024.
Beliau berkata Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula berdepan isu ketakteraturan serius serta kelemahan dalam proses perolehan membabitkan tiga tender bernilai RM58.45 juta.
Ini termasuk isu pelantikan sebuah syarikat perkhidmatan katering tiada sijil halal di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM).
Waktu Solat


26 Jul 2025
Waktu solat berikutnya,
Dhuhr
pada
13:23

